PILIHAN Raya Kecil Hulu Selangor akan diadakan pada 25 April 2010 ini. Pelbagai perkara menarik sudah berlaku walaupun penamaan calon hanya akan diadakan 17 April ini. Posting di bawah adalah salah satu yang terbaru....kami hanya mahu belajar
APA PERANAN MAFREL?
KUALA LUMPUR, 5 April (Bernama) -- Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) diminta mengkaji semula peranan Badan Pemantau Pilihan Raya (Mafrel) yang membidas tindakan kerajaan pusat meluluskan pelbagai projek perumahan dan sekolah di Hulu Selangor baru-baru ini.
Pengarah Pilihan Raya Kecil (PRK) Hulu Selangor Datuk Seri Noh Omar berkata kenyataan yang dibuat Pengerusi Mafrel Syed Ibrahim Syed Noh mengenai isu berkenaan adalah berat sebelah dan lebih kepada mewakili suara pembangkang.
Menurut Noh dakwaan Mafrel bahawa Barisan Nasional (BN) melanggar undang-undang pilihan raya juga dilihat seolah-olah badan bebas itu tidak memahami sepenuhnya bidang kuasa mereka, undang-undang SPR, kuasa polis dan kuasa kerajaan tempatan.
"Mafrel pun tidak faham dari segi bidang kuasa mereka, tidak faham mengenai undang-undang SPR, mengenai kuasa polis, kuasa kerajaan tempatan. Apa kena mengena ia (Mafrel) minta SPR untuk ambil tindakan, ini belum lagi pilihan raya.
"Kalau ia (Mafrel) tidak puas hati, patutnya laporan kepada polis atau kerajaan tempatan. Tapi saya rasa Mafrel pun tidak turun padang dan lihat keadaan di Hulu Selangor sekarang. Siapa yang banyak naikkan bendera? Malah semalam pun Penasihat PKR (Datuk Seri Anwar Ibrahim) turun ke Sungai Tinggi untuk berkempen," katanya kepada pemberita di Lobi Parlimen di sini, Isnin.
Noh yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor mengulas kenyataan Pengerusi Mafrel yang mengatakan tindakan kerajaan BN mengumumkan peruntukan dan pelbagai projek perumahan dan sekolah, seolah-olah tidak menghormati proses pilihan raya demokratik dan menggesa SPR bertindak tegas terhadap BN.
Mengulas lanjut, beliau berkata sekiranya Mafrel betul-betul mahu memainkan peranan sebagai badan bebas, mereka sepatutnya turut menegur kerajaan negeri di mana pada hari yang sama turut menyampaikan sumbangan dan bantuan pada satu majlis yang dihadiri Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
"Mengapa hanya kerana pemimpin persekutuan turun memberikan peruntukan, hendak dipersoalkan sedangkan Menteri Besar (Selangor) sendiri pergi turun (padang) bagi geran tanah, kenapa tidak menegur kerajaan negeri. Apa juga yang dibuat oleh kerajaan persekutuan semuanya salah dan kerajaan negeri tidak ditegur sama sekali.
"Kerana itu, Mafrel terutama pengerusinya tidak layak sama sekali untuk menjadi badan pemantau bebas. Belum ada kuasa penuh sudah buat teguran. Kalau diberi kuasa sebagai badan bebas pun, sudah tidak bebas lagi," katanya.
Sementara itu, Ketua Umno Bahagian Cheras Datuk Syed Ali Alhabshee pula menasihatkan Mafrel supaya tidak menjadi "penyibuk yang bermusim" dengan terus-menerus mengkritik usaha kerajaan untuk membela nasib rakyat.
Beliau berkata Mafrel boleh mengemukakan laporan lengkap kepada SPR jika mereka mendapati kerajaan tidak telus dalam menghadapi pilihan raya kecil atau umum.
"Setiap kali berlakunya pilihan raya umum atau kecil, Mafrel akan mendesak SPR mengambil tindakan tegas terhadap kerajaan BN yang dakwa mereka tidak telus tetapi selepas itu mereka akan senyap.
"Ini menunjukkan Mafrel sebenarnya badan bebas yang jadi kuda tunggangan pembangkang yang sibuknya bermusim, sekadar untuk memanaskan keadaan," katanya dalam kenyataan di sini.
Syed Ali berkata organisasi berkenaan sepatutnya sudah membentangkan laporan mengenai pemerhatian mereka terhadap proses pilihan raya kepada SPR.
"Tetapi saya difahamkan sehingga ke hari ini SPR tidak pernah pun menerima laporan daripada Mafrel mengenai perjalanan pilihan raya di negara ini, jadi apa sebenarnya yang mereka pantau?," katanya.
Beliau juga mahu keanggotaan Mafrel didedahkan kepada umum supaya rakyat dapat menilai sejauh mana kebebasan badan itu atau hanya mengikut telunjuk pembangkang semata-mata.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment