Friday, November 5, 2010

LINDA MENANG BESAR

DUA pilihanraya kecil yang berlangsung kelmarin pasti akan menimbulkan pelbagai reaksi. Barisan Nasional dengan penilaiannya, PKR bersama perjuangan mereka dan SAPP yang bakal kembali merenung langkah politik tersendiri.
Kami pihak admin US banyak belajar dari semua itu. Dan akan terus cuba untuk lebih mantap lagi dalam perjalanan penuh liku ini. Demi tulun tokou....

LINDA MENANG BESAR

KUALA LUMPUR, 4 Nov — Barisan Nasional (BN) merampas balik kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan kemenangan selesa pada pilihan raya kecil yang diadakan serentak hari ini.

Dalam kemenangan berganda ini, BN juga mempertahankan kerusi Parlimen Batu Sapi di Sabah dengan majoriti dua kali ganda berbanding 2008.

BN juga mencatatkan majoriti berganda di kedua-dua kerusi Galas dan Batu Sapi.

Kemenangan dua pilihan raya kecil serentak ini dilihat memberi bayangan awal kemungkinan Datuk Seri Najib Razak akan memanggil pilihan raya umum ke-13 dalam waktu terdekat — kemungkinan tahun depan.

Dalam satu temu bual semalam, Najib yang juga Perdana Menteri dan Pengerusi BN menegaskan bahawa pihaknya bersedia untuk menghadapi sesiapa sahaja dalam pilihan raya umum ke-13.

Di Galas, calon BN Abdul Aziz Yusoff mendapat 5,324 iaitu 56 peratus manakala calon PAS Dr Zulkefli Mohamad menerima 4,134. Undi rosak serabanyak 132.

Undi diperoleh calon PAS kali ini kurang sekitar 200 undi. Berbanding 2008, jumlah pengundi baru dan peratusan keluar mengundi meningkat kali ini.

Abdul Aziz merekodkan majoriti 1,190 undi - hampir dua kali ganda berbanding kelebihan undi dicatatkan oleh PAS pada 8 Mac 2008.

Pada Mac 2008, kerusi itu ditawan oleh PAS dua tahun lalu — buat julung kali — dengan kelebihan 646 undi menerusi Che Hashim Sulaima.

Keputusan diumumkan oleh Pegawai Pengurus pilihan raya kecil DUN Galas Wan Mustapha Wan Ab Hamid di Gua Musang.

Pilihan raya kecil DUN Galas diadakan berikutan kematian Che Hashim pada 27 September lalu akibat barah usus.

DUN Galas mempunyai 11,553 pengundi berdaftar. Seramai 9,555 pengundi atau 82.71 peratus keluar mengundi pada pilihan raya kecil DUN Galas berbanding 81 peratus pada pilihan raya umum 2008.

Di Batu Sapi, keputusan diumumkan menunjukkan calon BN Datin Linda Tsen mempertahankan kerusi itu dengan kelebihan 6,359 undi, juga lebih besar berbanding dua tahun lalu yang diterima suaminya yang terbunuh awal bulan lalu.

Pada Mac 2008, suaminya Datuk Edmund Chong Ket Wah memperoleh majoriti 3,708 undi dengan menerima 9,479 undi.

Tsen memperoleh 9,773 undi untuk menewaskan dua pencabarnya Ansari Abdullah dari PKR yang mendapat 3,414 undi manakala Presiden SAPP Datuk Yong Teck Lee memperoleh 2,031 undi.

Jumlah keluar mengundi di Batu Sapi adalah seramai 15,774 orang iaitu bersamaan dengan 61.47 peratus. Undi rosak adalah sebanyak 372.

Penjumlahan undi itu dilakukan di Dewan Masyarakat Sandakan. THE MALAYSIAN INSIDER

No comments:

Post a Comment