Monday, March 29, 2010

DERMA DARAH


UNITED PASOKMOMOGUN KADAZANDUSUN MURUT ORGANIZATION

BAHAGIAN SEPANGGAR

Tingkat 1, Lot 26, Blok F, Inanam Newtownship Phase 2

88450 Kota Kinabalu

Tel & Fax : 088 432760

UPKO / P.171 / S / 500 – 04 25hb Mac 2010

Kepada Semua

Ahli-Ahli UPKO

UPKO Bahagian Sepanggar

U/P :___________________________________

Tuan / Puan / Cik,

JEMPUTAN KE KEMPEN DERMA DARAH

ANJURAN PERGERAKAN WANITA UPKO SEPANGGAR

Dengan hormatnya dimaklumkan bahawa Pergerakan Wanita UPKO Sepanggar akan menganjurkan Kempen Derma Darah pada 24hb April 2010 (Sabtu) bermula jam 10.30 pagi hingga 3.00 petang bertempat di Ruang Legar GIANT Supermarket, Kolombong, Inanam.

Kempen Derma Darah ini telah dianjurkan bersama dengan Unit Tabung Darah, QEH dan Persatuan Thalasaemia Sabah bagi tujuan mengutip darah untuk mengisi Tabung Darah di Queen Elizabeth Hospital dan juga untuk membantu keperluan penambahan darah kepada para pesakit Thalasaemia. (sila rujuk kepada risalah yang dikepilkan bersama mengenai dengan dengan penyakit Thalasaemia)

Sehubungan dengan kempen ini, saya bagi pihak Jawatankuasa Penganjur ingin menjemput Tuan / Puan / Cik agar dapat sama menjemput kepada kawan-kawan dan sahabat handai untuk tampil ke hadapan untuk menderma darah bagi menjayakan usaha murni ini.

Sekian, kerjasama serta perhatian Tuan / Puan / Cik untuk menyertai dalam program ini didahului dengan ucapan jutaan terima kasih.

“HARAPAN 1MALAYSIA” & “SETITIK DARAH, SEJUTA HARAPAN”

Yang menjalankan tugas,

( WONG THIEN FOOK )

Setiausaha bahagian

s.k. YBhg. Datuk Steven K. Kutai, Ketua Bahagian Penaja UPKO Sepanggar

s.k. Puan Frieda P. Polodo, Pengerusi Penganjur Kempen Derma Darah

APAKAH ITU PENYAKIT TALASEMIA (THALASAEMIA) ?

Talasemia (bahasa Inggeris – Thalasaemia) adalah penyakit kecacatan darah. Talasemia merupakan keadaan yang diwarisi, iaitu diwariskan dari ibu bapa kepada anak. Kecacatan gen menyebabkan hemoglobin dalam sel darah merah menjadi tidak normal. Mereka yang mempunyai penyakit Talasemia tidak dapat menghasilkan hemoglobin yang mencukupi dalam darah mereka. Hemoglobin adalah bahagian sel darah merah yang mengangkut oksigen daripada paru-paru ke seluruh tubuh. Semua tisu tubuh manusia memerlukan oksigen. Akibat kekurangan sel darah merah yang normal akan menyebabkan pesakit kelihatan pucat kerana paras hemoglobin (Hb) yang rendah (anemia).

Sel darah merah bertugas membekalkan oksigen kepada tisu dalam badan manusia. Kekurangan sel darah merah bagi membekalkan oksigen akan mengakibatkan pesakit Talasemia berasa lesu, tidak bermaya dan mungkin sesak nafas sekiranya paras Hb semakin menurun. Tisu yang ketiadaan oksigen gagal berfungsi dengan baik. Dengan itu tubuh mereka menjadi lemah, gagal berkembang dengan baik dan mereka boleh menjadi sakit teruk.

JENIS TALASEMIA

Terdapat dua jenis Talasemia iaitu :-

· Talasemia minor – merujuk kepada mereka yang mempunyai kecacatan gen Talasemia tetapi tidak menunjukkan tanda-tanda Talasemia atau pembawa

· Talasemia major – merujuk kepada mereka yang mempunyai baka Talasemia sepenuhnya dan menunjukkan tanda-tanda Talasemia

TANDA DAN GEJALA PENYAKIT TALASEMIA

· Biasanya anak-anak pembawa Talasemia kelihatan normal sewaktu dilahirkan. Bagaimanapun, mereka akan mulai mengalami anemia yang serius apabila mencapai usia di antara 13 hingga 18 bulan;

· Tubuh pucat, lemah dan gelisah;

· Anemia yang serius bisa menyebabkan sulit bernafas;

· Perut buncit disebabkan bengkak kepada hati dan limpa;

· Perubahan pembentukan tulang muka, pipi dan rahang yang tidak normal (tanda lewat)

RAWATAN PENYAKIT TALASEMIA

· Pesakit perlu menjalani transfusi darah berterusan setiap bulan;

· Transfusi darah berterusan akan menyebabkan pengumpulan zat besi di dalam organ penting badan seperti hati, jantung dan kelenjar endokrin yang akhirnya merosakkan fungsi organ-organ tersebut;

· Rawatan penyingkiran zat besi berlebihan perlu dilakukan dengan suntikan ubat Desferrioxamine;

· Pemindahan sum-sum tulang sekiranya ada penderma yang sesuai di kalangan keluarga.

Sunday, March 28, 2010

MASIHKAH

MASIHKAH kau ingat
Kita berlari-lari
Mencari dan mencari

Masihkah kau kenang
Kita terjatuh longlai
Bangun, berdiri, berjalan

Masihkah kau rindu
Kita maju kehadapan
Berdiri sama tinggi
Duduk sama rendah
1Malaysia jati?

Masihkah ingin bersama ku?

Wednesday, March 24, 2010

BROADBAND LAJU

MUNGKIN ini seperti masuk bakul angkat sendiri. Tidak apalah. Kalau bukan sendiri, siapa lagi yang mahu angkat? Hehehehe. Beberapa waktu lalu, kami berbisik-bisik dengan sesama kami untuk mencuba membuka lembaran baru dalam perjuangan politik di Upko Sepanggar. Pendek cerita, wujudlah blog ini dan Facebook. Semalam, Perdana Menteri melancarkan usaha terbaru untuk broadband atau jalur lebar. Jelaslah, pandangan kami yang ala-kadar mampu berjalan seiring dengan wawasan kerajaan memperkasakan rakyat dengan kemudahan informasi maklumat dan komunikasi. Jadi, kami sudah ada mata lah ni...hahaha
RAIS CAKAP BROADBAND
KUALA LUMPUR, 25 Mac (Bernama) -- Kerajaan yakin dapat mencapai sasaran penembusan perkhidmatan jalur lebar sebanyak 50 peratus sebelum akhir tahun ini, kata Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim.

Beliau berkata dengan penembusan 50 peratus ini akan meningkatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tidak kurang dari satu peratus.

Menurutnya, jalur lebar kini bukan lagi satu kemewahan atau sesuatu yang perlu diletakkan pada tahap yang mahal ataupun yang sukar diperolehi oleh rakyat.

"Mengikut nasihat Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) dan Timbalan Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin), kita harus melangsungkan misi dan perjuangan kita mengenai jalur lebar ini di pusat ekonomi bandar dan luar bandar," katanya ketika berucap di majlis pelancaran Inisiatif Jalur Lebar Negara dan Perkhidmatan Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi (HSBB) di Dataran Merdeka di sini Rabu malam.

Kadar penembusan jalur lebar sekarang adalah 33.3 peratus.

Majlis pelancaran tersebut disempurnakan oleh Najib di Dataran Merdeka di sini dan turut hadir ialah Muhyiddin. Sambil menyifatkan malam ini sebagai malam bersejarah dengan pelancaran tersebut,

Rais berkata kerajaan melalui kementerian berhasrat meningkatkan kemajuan teknologi jalur lebar dalam usaha membudayakan teknologi ke peringkat yang paling sesuai untuk masyarakat, sama ada di bandar atau luar bandar.

Menurutnya adalah perlu untuk menjayakan visi dan perjuangan kerajaan dalam pembangunan perkhidmatan jalur lebar dalam dua tahap iaitu tahap kelajuan yang tinggi di tempat-tempat dan pusat ekonomi tertentu serta kawasan luar bandar juga perlu ditembusi.

"Memandangkan bahawa kemampuan penduduk luar bandar begitu terhad termasuklah para penuntut, maka tentu sekali kementerian perlu memberi perhitungan dan tumpuan dengan nasihat jawatankuasa kabinet (mengenai Pelan Pelaksanaan Jalur Lebar Nasional) untuk menentukan apakah yang harus kita lakukan bersama," katanya.

Beliau berkata perkhidmatan jalur lebar berkelajuan tinggi merupakan satu usaha sama antara pihak swasta dan kerajaan.

"Dan oleh itu perseimbangan dan faedah yang akan diterima haruslah juga dapat dilihat. Pencapaian ini dapat melonjakkan daya capaian ekonomi negara, komunikasi negara, budaya negara dan tamadun negara," kata Rais. -- BERNAMA

Sunday, March 21, 2010

SIAPA MAKAN SIAPA

KAMI tercari-cari bahan untuk blog ini. Kami perlu teliti, bincang, selami mana yang ngam dan mana yang tidak perlu. Yang ini lulus tapisan (dengan menggunakan standard ala-kadar team admin blog ini lah). Pesanan kami, biarlah kita ambil mana yang jerneh dan buang mana yang keruh. Warna warni kehidupan mewajibkan kita melihat semua. Dan memilih mana yang sesuai...

ZAID: PAGAR MAKAN PADI
22 MAC — Awang Selamat marah benar. Kepada orang Melayu yang tidak mahu bersekongkol dengan Ibrahim Ali dan Mahathir Mohamad dalam mesyuarat agung pertama Perkasa pada Sabtu ini, Awang yang kerdil itu berkata: “Usahlah menjadi Melayu di tanah air ini, jika kita terlalu takut dan mengikut telunjuk pihak yang sedang pun menghakis kedudukan Melayu”.

Kalaulah saya Sultan Selangor, tentu terguris hati saya dengan sindiran yang biadab dan bodoh ini.

Awang naik berang kerana menurutnya, Perkasa patut di sanjung dan disokong kerana begitu lantang mempertahankan kedaulatan institusi Raja-Raja Melayu yang dikatakan sedang dihina.

Yang anehnya sejak bila pula institusi Raja-Raja Melayu kita dihina? Saya belum terbaca atau mendengar mana-mana pihak yang mencabar institusi Raja. Kalau pun Karpal Singh itu dikatakan mencabarnya, bukankah kes itu belum lagi selesai? Itu pun kes perundangan.

Kenapa Awang, Ibrahim Ali dan Mahathir tak sabar-sabar hinggakan perlu memanggil 10,000 orang Melayu berhimpun.

Kalau setakat nak beri orang ramai makan percuma dalam dewan yang empok, 20,000 orang pun boleh dicari. Tetapi Melayu sekarang tidaklah sebodoh yang difikirkan oleh Awang. Lebih baik Awang bagi contoh-contoh siapa dan apa yang mencabar Raja-Raja kita?

Saya sangka orang akhbar ini bijak dan pintar, dan kenyataan pun biasanya berasas dan ada minat ke arah mencari kebenaran. Itu sepatutnya menjadi kriteria utama wartawan cemerlang.

Awang juga mendakwa kepentingan Melayu diasak begitu hebat selepas pilihanraya umum 2008 dan hanya Perkasa yang mempertahankan hak orang Melayu.

Wah! Bila UMNO dan Barisan Nasional hilang banyak kerusi, maka itu bererti menghina Melayu? Ini rupanya punca kemarahan Awang dan Utusan Malaysia. Sebenarnya, iyu bukan menghina Melayu, cuma rakyat membuat pilihan mengikut selera mereka.

Takkanlah kalah sikit, sudah nak marah. Itu gila kuasa namanya. Bagaimana nak ada demokrasi macam itu. Awang perlu sedar banyak juga orang Melayu yang mengundi Pakatan Rakyat? Bukan setakat pilihanraya umum 2008, malah dalam banyak pilihanraya kecil selepas itu pun orang Melayu memilih Pakatan Rakyat. Malah lebih ramai yang mengundi Pakatan daripada UMNO. Jadi Melayu mana yang Awang wakili?

Untuk pengetahuan Awang, biarlah dijelaskan di sini bahawa yang menghakis kedudukan Melayu ialah golongan Melayu atasan UMNO kerana merekalah yang memerintah. Tak ada kumpulan lain pun yang mentadbir negara ini kecuali mereka, sejak merdeka dahulu.

Jika Awang kata kedudukan Melayu terhakis, maka kumpulan Melayu atasan inilah yang bertanggungjawab sepenuhnya. Tapi Awang berani kutuk Pakatan saja. Awang kecut perut dan takut nak berdepan dengan “political masters” dia.

Kalau benar anak jantan, tanyalah kepada orang seperti Mahathir Mohamad, Muhyuddin Yassin dan Najib Razak mengapa Melayu masih ketinggalan, mengapa tanah rezab Melayu makin berkurangan, mengapa jurang di antara Melayu kaya dan Melayu miskin bertambah besar? Salah siapa?

Masalah Melayu dan bumiputra bukan kerana Melayu/ bumiputra tidak ada hak atau keistimewaan Melayu dicabar. Soal hak tak timbul.

Masalah sebenar ialah orang Melayu selama ini telah mengharapkan pagar tapi pagar itu pula yang telah makan padi. Sampai hari ini pagar itu masih tak berhenti-henti makan padi milik orang Melayu. Itulah punca kemunduran Melayu sabenar. Tak kan lah ini pun tak faham. — myzaidibrahim.wordpress.com

* Datuk Zaid Ibrahim ialah penyelaras untuk Pakatan Rakyat Malaysia yang masih menunggu pendaftaran.

* This is the personal opinion of the writer or publication. The Malaysian Insider does not endorse the view unless specified.

Thursday, March 18, 2010

DERMA DARAH

Pergerakan Wanita Upko Sepanggar

dengan kerjasama

Unit Tabung Darah QEH

dan Persatuan Thallasemia Sabah

akan menganjurkan Kempen Menderma Darah

pada 24 April 2010

di Ruang Legar Giant, Kolombong, Inanam

dari jam 10.30am to 3pm.

Setitik darah, sejuta harapan.

(Cabutan bertuah & goodies akan

disediakan untuk para penderma)


Nah, kawan-kawan, mari meneteskan darah bagi

mereka-mereka yang memerlukan.

Hari ini mungkin mereka, esok lusa kita-kita juga

mungkin yang memerlukan (palis-palis lah).

Buat baik berpadah-padah.....

Wednesday, March 17, 2010

MATANG

I know said...

Hi Upko Sepanggar
I really dont believe whatever you are doing here will bear any fruit.
You all had been sleeping all these while, why try to wake up only now.
Its too late already. Upko is way behind PBS and Umno, and especially SAPP and Keadilan.
Dont waste your time
better concentrate on your existing seats rather than day dreaming....

ITULAH yang di komen oleh I KNOW untuk posting AGONG BERTITAH. Cukup bikin panas juga tapi berkat sokongan moral terutama daripada mereka yang sudah lama dalam politik di Upko Sepanggar, kami berjaya memahami keadaan dan menjadi lebih matang. Kami akan terus berjuang....

STRATEGI BARU UNTUK SEMUA

MESKIPUN baru berjinak-jinak dengan politik, namun kenyataan seperti ini sudah terlalu sering kami dengar. Tidak hairanlah bila ramai perwakilan Upko dalam kongres parti sejak 1994 terus menerus menyuarakan, masalahnya ialah pengimplimentasian. Kami akan terus memantau sama ada dasar seumpama ini boleh mencapai kumpulan sasaran, dengan kadar segera.

MODEL EKONOMI BARU ROBOH TEMBOK PERKAUMAN
KUALA LUMPUR, 16 Mac — Model Ekonomi Baru (MEB) yang bakal dilancarkan akan mampu menjadi instrumen penting untuk merobohkan tembok perkauman dan perasan prasangka di antara kaum di negara ini.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin (kiri) berkata di bawah MEB, semua kaum akan mempunyai peranan dan peluang yang sama untuk menggilap potensi masing masing serta bersaing secara adil dalam sektor ekonomi.

Beliau percaya apabila setiap rakyat tanpa mengira kaum dan agama mendapat jaminan hak yang adil, perpaduan dan keharmonian kaum dapat direalisasikan.

“Justeru itu, saya melihat Model Ekonomi Baru ini bukan sekadar satu model ekonomi. Ia juga merupakan satu instrumen penting untuk merobohkan tembok perkauman, meleburkan perasaan prasangka antara kaum dan mencipta masa depan yang lebih gemilang bagi negara kita sebagai sebuah negara bangsa yang bersatu dan maju,” katanya pada majlis makan malam 1 Malaysia anjuran Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur (DPCKL), di sini, malam ini.

Timbalan Perdana Menteri juga menyarankan supaya sektor swasta terus memainkan peranan penting dalam memaju pertumbuhan ekonomi negara.

Dalam aspek ini, beliau berkata masyarakat perniagaan Cina seperti DPCKL harus turut menerokai bidang-bidang baru yang boleh meningkatkan lagi peranan dewan sebagai jambatan penghubung antara maysarakat Cina dan kaum-kaum lain, dan antara masyarakat Cina dengan kerajaan.

Katanya ini kerana bidang pertumbuhan baru perlu diterokai terutamanya dalam sektor perkhidmatan dan pembangunan infrastruktur termasuk teknologi hijau dan teknologi jalur lebar.

“Oleh itu saya amat berharap agar pertubuhan seperti DPCKL ini tampil ke hadapan untuk bersama-sama kerajaan dalam menjayakan hasrat dan cita-cita murni ini,” katanya.

Turut hadir pengerusi jawatankuasa pengelola Tan Sri Tee Hock Seng yang juga bendahari agung MCA dan juga setiausaha agung MCA Datuk Wong Foon Meng. — Bernama

Monday, March 15, 2010

AGONG BERTITAH

MINGGU LALU, salah seorang ahli team Upko Sepanggar merasa tersentuh kerana tiba-tiba seorang tua berterima kasih kepada beliau. Teman kami bertanya, kenapa? Orang tua itu berkata, Upko melalui Datuk Steven K Kutai telah memberikan yang terbaik semasa masih mewakili DUN Inanam pada tahun 90an. Pagi tadi, kami percaya Datuk Lee Chong Wei pasti terharu bila Agong dalam ucapannya di pembukaan Parlimen mengucapkan tahniah kepada juara All England itu. Kami di Upko Sepanggar akan ikhlas berjuang. Meski kekadang tiada orang yang tahu, namun, kami akan terus berusaha yang terdaya demi esok yang lebih terbilang.

AGONG UCAP TAHNIAH KEPADA LEE CHONG WEI

KUALA LUMPUR, 15 Mac — Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin mengucapkan tahniah dan syabas atas kejayaan pemain badminton perseorangan negara Datuk Lee Chong Wei yang menjuarai Kejohanan Badminton All England semalam.

“Kemenangan ini amat besar maknanya kepada negara kita dalam menjayakan gagasan 1Malaysia,” titah baginda semasa merasmikan pembukaan penggal ketiga Parlimen ke-12 di sini hari ini.

Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah turut berangkat ke istiadat itu.

Dalam titah ucapan itu, Tuanku Mizan turut menyeru rakyat supaya sentiasa memelihara dan mengharumkan nama serta maruah negara.

“Apa jua bidang sama ada reka cipta, inovasi, sukan, kebudayaan, kesenian dan sebagainya yang disertai untuk mewakili negara hendaklah dilakukan dengan semangat juang yang tinggi.

“Dalam hubungan ini, kerajaan Beta sentiasa memberi galakan dan sokongan untuk mendorong rakyat mencapai kecemerlangan sehingga ke peringkat antarabangsa,” titah Seri Paduka.

Dalam perlawanan akhir yang berlangsung di National Indoor Arena, Birmingham itu, pemain nombor satu dunia itu menjuarai Kejohanan Badminton All England buat kali pertama dalam kariernya selepas mengalahkan pemain Jepun Kenichi Tago.

Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan Datuk Ahmad Shabery Cheek yang ditemui pemberita di lobi Parlimen selepas istiadat perasmian tersebut turut mengucapkan tahniah kepada Lee atas kemenangan besarnya pada kejohanan All-England.

Beliau berkata kemenangan itu membawa erti yang cukup besar kepada negara, sekali gus menguatkan keyakinan skuad badminton negara untuk melakar kejayaan berganda dalam kejohanan akan datang iaitu Piala Thomas, Sukan Komanwel, Sukan Asia dan Sukan Olimpik.

“Sasaran kita adalah untuk mendapat emas yang pertama di Sukan Olimpik 2012... jadi kemenangan itu memberikan harapan yang besar dan saya percaya kita mampu untuk melakukannya,” katanya.

Shabery berkata satu majlis khas bagi menyambut kepulangan Lee ke tanah air akan diadakan sebaik sahaja beliau tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur petang esok.

“Pihak Parlimen juga bersetuju untuk memberi peluang kepada anggota Dewan Rakyat memberi penghormatan dan ucap tahniah kepada jaguh sukan negara itu Rabu ini memandangkan All-England itu besar maknanya untuk semua,” katanya.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai pula berkata beliau sangat berbangga dengan pencapaian Lee di kejohanan All England dan berharap dengan semangat juang yang tinggi seperti itu, sukan negara dapat terus dimajukan. — Bernama

Sunday, March 14, 2010

ASAS PERJUANGAN

UPKO Sepanggar ini wujud kerana kami merasakan seakan ada panggilan untuk setiap kita berusaha dengan apa cara sekalipun untuk menjadikan esok lebih cerah untuk semua. Kami di blog ini telah brainstorm beberapa kali dan walau ada suara suara sinis, memperlekehkan usaha ala-kadar ini, ramai juga diantara kami yang seakan disuntik semangat baru untuk berjuang dalam Upko. Mungkin pendapat berikut boleh memberikan kita food for thoughts dalam perjalanan kita untuk saling terus maju.... fight fight fight

MENGEJAR KEMENANGAN ATAU MENCARI KEBENARAN?

OLEH MARKUS LIM

14 MAC — Dua perkataan di atas; kemenangan dan kebenaran mempunyai konotasi yang amat berbeza.

Di satu segi, perkataan menang itu mencakupi keinginan atau hasrat seseorang pemimpin untuk menang dalam persaingan dengan lawannya dengan penuh bergaya. Pendek kata, maruah dan prestij mereka menjadi keutamaan.

Manakala perkataan kebenaran pula dikaitkan dengan kesungguhan sekumpulan pemimpin-pemimpin untuk memperjuangkan sesuatu yang benar dan tidak bertentangan dengan conscience diri mereka. Persoalannya, berapa ramai pemimpin-pemimpin yang memiliki sikap sedemikian?

Dalam arena politik di negara kita, jurang antara kedua-dua prinsip itu sebenarnya amat luas malah jika dilihat secara dekat, ia tidak mungkin dapat co-exist secara bersama. Ini kerana sikap manusia yang lebih cenderung untuk bermegah-megah, ego dan mahu mencapai sesuatu yang lebih baik bagi memuaskan nafsunya. Kesudahannya, conscience dan prinsip hidupnya diketepikan.

Contoh terbaik yang saya dapat berikan mengenai perkara ini adalah pemimpin politik. Tak kiralah dari parti mana mereka berada, kebanyakan kalau bukan semua secara kelazimannya lebih berminat untuk mengejar harta kekayaan selain status dan pangkat. Bagi mereka, inilah jalan pintas ke puncak kekuasaan dan mengekalkan kelangsungan mereka.

Kemenangan dalam sesuatu persaingan menjanjikan pulangan yang berprestij. Pemimpin yang menang itu akan dilihat sebagai seorang pemenang, seorang yang berpengaruh lagi kuat serta menjadi kingmaker kepada percaturan politik parti yang disertainya.

Tetapi adakah keinginan untuk mengejar kemenangan begitu penting sehinggakan prinsip menegakkan kebenaran perlu diabaikan? Para pemimpin politik hari ini seolah-olah tergoda dengan nilai-nilai kebendaan dan duniawi yang pada akhirnya boleh menyesatkan mereka.

Prinsip hanya tinggal prinsip semata-mata sementara undang-undang rimba menjadi ikutan di sana sini. Krisis dalaman MCA yang kita saksikan ketika ini merupakan contoh terbaik bagi memperjelaskan persoalan berkenaan. Selama lebih lima bulan MCA dilanda kemelut yang semakin hari semakin kusut, pelbagai gelagat pemimpin dapat diperhatikan.

Para pemimpin parti yang dahulunya membisu sahaja, kini mula menonjolkan diri. Namakan sahajalah elemen-elemen buruk seperti cemburu, berdendam, kebencian bahkan juga rakus kuasa – semuanya mula menjadi-jadi.

Tak kurang juga mereka yang keluar mengumumkan kepada media bahawa mereka berhasrat untuk bertanding jawatan tertentu dalam parti sekalipun parti dibelenggu masalah besar. Lebih dikesali, kesemua insiden ini berlaku ketika MCA masih mempunyai seorang Presiden yang dipilih secara sah. Semuanya ini seolah-olah memperlihatkan mereka sudah tidak menghormati Tee Keat sebagai Presiden Parti.

Episod tikam-menikam antara fraksi pemimpin yang anti-Presiden MCA merupakan detik-detik hitam dalam sejarah parti yang sudah pun berusia lebih enam dekad. Orang yang kena tikam itu bukan kena sekali tetapi dua kali. Mungkin disebabkan Presiden MCA itu lebih berminat untuk menumpukan kepada tugasannya, maka mereka berpandangan bahawa beliau mudah untuk ditikam.

Tidak terlintas dalam fikiran bahawa perkara sedemikian rupa akan berlaku. Tetapi kepada pengkritik dan mereka yang anti-OTK, ‘tikaman’ ini adalah sesuatu yang wajar. Benarlah kata Yang Teramat Mulia Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj, Perdana Menteri Malaysia yang pertama satu ketika dahulu bahawa politik sememangnya cukup kotor. Mereka yang tidak mempunyai kemahiran untuk berpolitik dan tidak berkemampuan untuk menghadapi taktik-taktik kotor dan tekanan, usahlah menjadi politikus.

Ia tidak mengira siapa dan status anda. Selagi pemimpin tersebut menjadi penghalang kepada cita-cita atau agenda pihak berkepentingan, pemimpin berkenaan akan ditentang. Dalam diri pemimpin-pemimpin terbabit, wujudkah lagi prinsip untuk memperjuangkan kebenaran?

Kebenaran adakalanya menyakitkan. Pepatah Inggeris ada menyatakan: “The truth hurts.’’ Para pemimpin, kebanyakannya lebih cenderung untuk mendengar kata-kata yang sedap untuk didengar. Memperjuangkan kebenaran menuntut kesungguhan dan keikhlasan pemimpin itu untuk berjuang habis-habisan sekalipun menyedari perjuangan ini sukar dan tidak popular.

Seorang pemimpin yang benar memperjuangkan kebenaran tidak akan sesekali berundur ke belakang. Apa jua onak dan duri akan dihadapinya dengan penuh tabah. Berundur ke belakang hanya memberi gambaran kepada masyarakat umum bahawa dirinya hanya cuba lari daripada tanggungjawabnya.

Yang pasti, hakikat sebenar tidak akan lari. Fakta tetap fakta. Kebenaran tetap akan terbongkar pada akhirnya. Kini, terpulanglah kepada para perwakilan untuk membuat pilihan terbaik pada 28 Mac ini.

Jika mereka merasakan seorang pemimpin parti yang berpengaruh tetapi sarat dengan masalah kredibiliti lebih sesuai untuk menerajui MCA, itu adalah pilihan mereka. Mereka seharusnya bertanggungjawab di atas pilihan yang dibuat kelak sekiranya berlaku sedikit kesulitan. Dan prinsip yang sama perlu diaplikasikan jika perwakilan memutuskan untuk memilih seorang pemimpin yang disegani.

Kewibawaan dan kebijaksanaan para perwakilan bakal teruji pada 28 Mac ini. Yang manakah lebih penting ; mengejar kemenangan atau mencari kebenaran? Tepuk dada, tanyalah selera! THE MALAYSIAN INSIDER

* The views expressed here are the personal opinion of the columnist.

Tuesday, March 9, 2010

SASARAN

HARI ini Hari Tiga. Ada nomber. Ada kawan-kawan yang tidak miss nih, melabur seringgit dua (betul-betul dua tiga ringgit ja nih) di Sports Toto, STC, 88 dan kekadang Magnum (main black punya). Dorang cakap, kami tia merokok, jarang moginum, jadi duit lobi-lobi ini buli la pakai pelaburan, mana tau... Dan dorang tia mau tingu results di handphone, apa lagi beli 50 sen yang dijual budak polipin. Biarlah mimpi indah, suspen sikit satu malam, bisuk pagi baru tingu....
Numbur. Apakah kita Upko Sepanggar faham itu numbur di bawah? Inanam + Karambunai 37,154 pengundi. Jadi?

INANAM

KOD LOKALITI JUMLAH

‘01 TELIPOK LAUT 691
‘02 TELIPK DARAT 2472
‘03 TOBOBON 1389
‘04 KOKOL 616
‘05 MENGGATAL 2820
‘06 PULUTAN 1213
‘07 INANAM DARAT 1901
‘08 PORING-PORING 251
‘09 KOLAM AYER 1597
‘10 CENDERAKASIH 3626
‘11 PEKAN INANAM 2282

JUMLAH KESELURUHAN 18,858


KARAMBUNAI
KOD LOKALITI JUMLAH
‘01 KARAMBUNAI 1111
‘02 GUDON 2795
‘03 INANAM LAUT 2771
‘04 LIKAS BARU 2162
‘05 LIKAS DARAT 2860
‘06 KG. LIKAS 1447
‘07 TAMAN INDAH PERMAI 1428
‘08 BANGKA-BANGKA 1520
‘09 KUROL MELANGI 2212

JUMLAH KESELURUHAN
18,306

Monday, March 8, 2010

KDN BERFIKIR

UPKO SEPANGGAR BERKATA: POLISI Kerajaan BN sememangnya bagus. Sebenarnya, semua polisi itu bagus. Lebih-lebih lagi yang diluluskan di Parlimen. Namun, yang sering menjadi isu ialah pengimplementasiannya. Sekilas pandang, kita di Sepanggar turut dinodai penyakit warga asing ini. Tidak keterlaluan bila kita katakan, mungkin kawasan kita yang paling teruk. Upko Sepanggar mempunyai wawasan bagaimana ini boleh ditangani....


PANGKALAN DATA WARGA ASING

PUTRAJAYA, 8 Mac (Bernama) -- Kementerian Dalam Negeri (KDN) Isnin memutuskan perlunya diwujudkan pangkalan data nasional berhubung warga asing bagi memastikan pemantauan dan penguatkuasaan terhadap warga asing dilakukan secara berkesan, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Beliau berkata perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Induk Penambahbaikan Pengurusan dan Pemantauan Warga Asing yang dipengerusikannya hari ini dan ia antara perkara utama bakal dibincangkan dalam mesyuarat Makmal Pengurusan Warga Asing.

"Kita mengutarakan cadangan itu berasaskan kepada tinjauan daripada kaedah dan amalan terbaik pengurusan warga asing yang dilaksanakan oleh beberapa buah negara.

"Pangkalan data itu dapat memastikan proses pemantauan dan penguatkuasaan dapat dilaksanakan secara berkesan kerana aktiviti warga asing sepanjang berada di negara ini dapat direkodkan dengan cepat dan boleh digunakan oleh agensi penguatkuasa pada bila-bila masa untuk rujukan," katanya dalam kenyataan di sini Isnin.

Hishammuddin berkata menerusi pangkalan data nasional itu, rekod keluar masuk dan aktiviti dalam negara semua kategori warga asing akan dapat disepadukan dengan sistem pemantauan.

Daripada aspek penguatkuasaan pula, katanya pangkalan data itu akan dapat menyediakan keperluan maklumat berhubung status semasa setiap warga asing termasuk jenis permit dan pas dan tempoh sah laku pada bila-bila masa operasi dilaksanakan oleh semua agensi penguatkuasa seperti pihak imigresen, polis, RELA dan pihak berkuasa tempatan.

"Dengan wujudnya pangkalan data itu, semua pihak yang berurusan dengan warga asing di negara ini seperti pihak hotel, pengusaha rumah sewa, pusat pengajian tinggi, hospital dan majikan diwajibkan menghantar maklumat kepada pihak berkuasa yang akan bertanggungjawab menguruskan pangkalan data tersebut kelak," katanya.

Hishammuddin berkata penyediaan pangkalan data itu turut memerlukan kepada penggubalan undang-undang bagi membolehkan pelaksanaannya secara menyeluruh dan melibatkan semua pihak berkaitan.

Mengenai penubuhan Makmal Pengurusan Warga Asing yang diumumkan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini, Hishammuddin berkata kementeriannya telah membuat persiapan yang diperlukan dan bersedia untuk memulakan pelaksanaan makmal dalam masa terdekat.

"Butiran lanjut seperti tarikh, tempoh dan keanggotaan makmal ini akan diputuskan dalam Mesyuarat Peringkat Menteri Berhubung Pelaksanaan Makmal Warga Asing yang akan saya pengerusikan pada 17 Mac 2010," katanya.

Penubuhan makmal itu bertujuan mencari kaedah penyelesaian secara holistik untuk menangani isu-isu berhubung warga asing khususnya mengelakkan lambakan Pendatang Asing Tanpa Izin daripada terus berleluasa.

Dalam kenyataan media yang sama Hishammuddin memaklumkan bahawa Ketua Pengarah International Organization for Migration (IOM) William Lacy Swing akan bertemu dengannya esok, bagi membincangkan beberapa perkara berhubung kait dengan isu pemerdagangan orang.

"Antara perkara yang akan dibincangkan dalam pertemuan itu ialah berhubung cadangan mewujudkan pejabat cawangan IOM di Kuala Lumpur sebagaimana yang telah diwujudkan di Jakarta, Bangkok, Manila, Yangon serta di beberapa negara Asean yang lain," katanya.

IOM adalah sebuah badan bebas yang berpusat di Geneva dan berperanan dalam soal-soal berhubung kait dengan migrasi seperti aspek pengurusan, pembangunan dan penempatan semula. -- BERNAMA