Monday, March 15, 2010

AGONG BERTITAH

MINGGU LALU, salah seorang ahli team Upko Sepanggar merasa tersentuh kerana tiba-tiba seorang tua berterima kasih kepada beliau. Teman kami bertanya, kenapa? Orang tua itu berkata, Upko melalui Datuk Steven K Kutai telah memberikan yang terbaik semasa masih mewakili DUN Inanam pada tahun 90an. Pagi tadi, kami percaya Datuk Lee Chong Wei pasti terharu bila Agong dalam ucapannya di pembukaan Parlimen mengucapkan tahniah kepada juara All England itu. Kami di Upko Sepanggar akan ikhlas berjuang. Meski kekadang tiada orang yang tahu, namun, kami akan terus berusaha yang terdaya demi esok yang lebih terbilang.

AGONG UCAP TAHNIAH KEPADA LEE CHONG WEI

KUALA LUMPUR, 15 Mac — Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin mengucapkan tahniah dan syabas atas kejayaan pemain badminton perseorangan negara Datuk Lee Chong Wei yang menjuarai Kejohanan Badminton All England semalam.

“Kemenangan ini amat besar maknanya kepada negara kita dalam menjayakan gagasan 1Malaysia,” titah baginda semasa merasmikan pembukaan penggal ketiga Parlimen ke-12 di sini hari ini.

Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah turut berangkat ke istiadat itu.

Dalam titah ucapan itu, Tuanku Mizan turut menyeru rakyat supaya sentiasa memelihara dan mengharumkan nama serta maruah negara.

“Apa jua bidang sama ada reka cipta, inovasi, sukan, kebudayaan, kesenian dan sebagainya yang disertai untuk mewakili negara hendaklah dilakukan dengan semangat juang yang tinggi.

“Dalam hubungan ini, kerajaan Beta sentiasa memberi galakan dan sokongan untuk mendorong rakyat mencapai kecemerlangan sehingga ke peringkat antarabangsa,” titah Seri Paduka.

Dalam perlawanan akhir yang berlangsung di National Indoor Arena, Birmingham itu, pemain nombor satu dunia itu menjuarai Kejohanan Badminton All England buat kali pertama dalam kariernya selepas mengalahkan pemain Jepun Kenichi Tago.

Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan Datuk Ahmad Shabery Cheek yang ditemui pemberita di lobi Parlimen selepas istiadat perasmian tersebut turut mengucapkan tahniah kepada Lee atas kemenangan besarnya pada kejohanan All-England.

Beliau berkata kemenangan itu membawa erti yang cukup besar kepada negara, sekali gus menguatkan keyakinan skuad badminton negara untuk melakar kejayaan berganda dalam kejohanan akan datang iaitu Piala Thomas, Sukan Komanwel, Sukan Asia dan Sukan Olimpik.

“Sasaran kita adalah untuk mendapat emas yang pertama di Sukan Olimpik 2012... jadi kemenangan itu memberikan harapan yang besar dan saya percaya kita mampu untuk melakukannya,” katanya.

Shabery berkata satu majlis khas bagi menyambut kepulangan Lee ke tanah air akan diadakan sebaik sahaja beliau tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur petang esok.

“Pihak Parlimen juga bersetuju untuk memberi peluang kepada anggota Dewan Rakyat memberi penghormatan dan ucap tahniah kepada jaguh sukan negara itu Rabu ini memandangkan All-England itu besar maknanya untuk semua,” katanya.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai pula berkata beliau sangat berbangga dengan pencapaian Lee di kejohanan All England dan berharap dengan semangat juang yang tinggi seperti itu, sukan negara dapat terus dimajukan. — Bernama

1 comment:

  1. Hi Upko Sepanggar
    I really dont believe whatever you are doing here will bear any fruit.
    You all had been sleeping all these while, why try to wake up only now.
    Its too late already. Upko is way behind PBS and Umno, and especially SAPP and Keadilan.
    Dont waste your time
    better concentrate on your existing seats rather than day dreaming....

    ReplyDelete