Monday, March 8, 2010

KDN BERFIKIR

UPKO SEPANGGAR BERKATA: POLISI Kerajaan BN sememangnya bagus. Sebenarnya, semua polisi itu bagus. Lebih-lebih lagi yang diluluskan di Parlimen. Namun, yang sering menjadi isu ialah pengimplementasiannya. Sekilas pandang, kita di Sepanggar turut dinodai penyakit warga asing ini. Tidak keterlaluan bila kita katakan, mungkin kawasan kita yang paling teruk. Upko Sepanggar mempunyai wawasan bagaimana ini boleh ditangani....


PANGKALAN DATA WARGA ASING

PUTRAJAYA, 8 Mac (Bernama) -- Kementerian Dalam Negeri (KDN) Isnin memutuskan perlunya diwujudkan pangkalan data nasional berhubung warga asing bagi memastikan pemantauan dan penguatkuasaan terhadap warga asing dilakukan secara berkesan, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Beliau berkata perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Induk Penambahbaikan Pengurusan dan Pemantauan Warga Asing yang dipengerusikannya hari ini dan ia antara perkara utama bakal dibincangkan dalam mesyuarat Makmal Pengurusan Warga Asing.

"Kita mengutarakan cadangan itu berasaskan kepada tinjauan daripada kaedah dan amalan terbaik pengurusan warga asing yang dilaksanakan oleh beberapa buah negara.

"Pangkalan data itu dapat memastikan proses pemantauan dan penguatkuasaan dapat dilaksanakan secara berkesan kerana aktiviti warga asing sepanjang berada di negara ini dapat direkodkan dengan cepat dan boleh digunakan oleh agensi penguatkuasa pada bila-bila masa untuk rujukan," katanya dalam kenyataan di sini Isnin.

Hishammuddin berkata menerusi pangkalan data nasional itu, rekod keluar masuk dan aktiviti dalam negara semua kategori warga asing akan dapat disepadukan dengan sistem pemantauan.

Daripada aspek penguatkuasaan pula, katanya pangkalan data itu akan dapat menyediakan keperluan maklumat berhubung status semasa setiap warga asing termasuk jenis permit dan pas dan tempoh sah laku pada bila-bila masa operasi dilaksanakan oleh semua agensi penguatkuasa seperti pihak imigresen, polis, RELA dan pihak berkuasa tempatan.

"Dengan wujudnya pangkalan data itu, semua pihak yang berurusan dengan warga asing di negara ini seperti pihak hotel, pengusaha rumah sewa, pusat pengajian tinggi, hospital dan majikan diwajibkan menghantar maklumat kepada pihak berkuasa yang akan bertanggungjawab menguruskan pangkalan data tersebut kelak," katanya.

Hishammuddin berkata penyediaan pangkalan data itu turut memerlukan kepada penggubalan undang-undang bagi membolehkan pelaksanaannya secara menyeluruh dan melibatkan semua pihak berkaitan.

Mengenai penubuhan Makmal Pengurusan Warga Asing yang diumumkan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini, Hishammuddin berkata kementeriannya telah membuat persiapan yang diperlukan dan bersedia untuk memulakan pelaksanaan makmal dalam masa terdekat.

"Butiran lanjut seperti tarikh, tempoh dan keanggotaan makmal ini akan diputuskan dalam Mesyuarat Peringkat Menteri Berhubung Pelaksanaan Makmal Warga Asing yang akan saya pengerusikan pada 17 Mac 2010," katanya.

Penubuhan makmal itu bertujuan mencari kaedah penyelesaian secara holistik untuk menangani isu-isu berhubung warga asing khususnya mengelakkan lambakan Pendatang Asing Tanpa Izin daripada terus berleluasa.

Dalam kenyataan media yang sama Hishammuddin memaklumkan bahawa Ketua Pengarah International Organization for Migration (IOM) William Lacy Swing akan bertemu dengannya esok, bagi membincangkan beberapa perkara berhubung kait dengan isu pemerdagangan orang.

"Antara perkara yang akan dibincangkan dalam pertemuan itu ialah berhubung cadangan mewujudkan pejabat cawangan IOM di Kuala Lumpur sebagaimana yang telah diwujudkan di Jakarta, Bangkok, Manila, Yangon serta di beberapa negara Asean yang lain," katanya.

IOM adalah sebuah badan bebas yang berpusat di Geneva dan berperanan dalam soal-soal berhubung kait dengan migrasi seperti aspek pengurusan, pembangunan dan penempatan semula. -- BERNAMA

No comments:

Post a Comment